top of page

Kesan-Kesan Kenaikan Harga Barangan Keperluan Dan Langkah-Langkah Untuk Mengatasinya

Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini,kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka khususnya yang berpendapatan rendah. Hal ini menyebabkan kesan-kesan kenaikan harga barang keperluan berlaku. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini bak kata pepatah, “ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

Kesan-kesan kenaikan harga 1) Kehidupan golongan yang berpendapatan rendah Kenaikan harga barangan telah memberikan kesan kepada semua orang. Antaranya ialah masalah ini akan menyebabkan kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit. Hal ini berlaku demikian kerana kuasa beli mereka semakin berkurangan dan pendapatan mereka menjadi semakin berkurangan. Contohnya, barang-barang keperluan dapur semakin meningkat dan dianggarkan meningkat dalam lingkungan 20 hingga 50 peratus daripada harga yang sebelumnya. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada mereka kerana pendapatan mereka sebelum ini hanya cukup untuk makan. Oleh itu, masyarakat perlu berbelanja dengan bijak dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. 2) Sosioekonomi Kesan sosioekonomi sememangnya teruk seperti yang pernah kita saksikan dan alami sebelum ini. Kegiatan mengambil untung berleluasa dan pengguna menjadi mangsa eksploitasi peniaga. Peniaga dan badan korporat menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan. Pihak yang tidak mahu memikul beban kenaikan akan memindahkan lebihan kos kepada pihak lain, sama ada pembekal atau peruncit dan mangsanya ialah pengguna. Selain itu, terdapat juga peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang dengan sesuka hati. Sikap tidak bertanggungjawab ini mambawa kesan negatif kepada sosioekonomi dan menyekat kemajuan ekonomi negara. Peranan penting orang tengah dalam rangkaian makanan di mana mereka menentukan harga dan bekalan barang makanan yang dijual di pasaran. Orang tengah berada dalam kedudukan selesa kerana mereka menjana keuntungan besar daripada pihak pengeluar dan pihak pengguna. Rantaian kenaikan berkenaan menjadikan harga barang-barang keperluan turut naik yang mana menjadi bahan tunjang dalam menggerakkan aktiviti ekonomi. Hal ini melibatkan kos pembuatan dan pemprosesan. Keadaan yang meruncing dan mendadak akan menyebabkan rakyat yang kurang bersedia untuk menghadapinya terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah seperti petani, buruh dan pengusaha kecil. Fenomena ini akan dianggap suatu yang amat membebankan. 3) Sumber bahan bakar tinggi Selain kenaikan harga bahan keperluan yang membebankan masyarakat, terdapat kesan kenaikan harga lain kerana melibatkan sumber bahan bakar ini. Antaranya ialah industri perumahan yang mana mengalami kesan tinggi terhadap kenaikan minyak. Kos perkhidmatan yang membebankan juga akan bertambah seperti tambang bas dan teksi kerana keperluan terhadap bahan bakar ini. Pengusaha khususnya golongan yang kurang mampu terpaksa menanggung bebanan kos yang tinggi seperti kenaikan kadar sewa dan cukai yang melampau bagi sesebuah premis perniagaan sehingga ada pemilik restoran yang terpaksa menutup restorannya ekoran daripada kenaikan kadar sewa tapak premis berkenaan. Bagi mengurangkan bebanan ini, peniaga terpaksa menaikkan harga barang yang dijual. Kesannya, tekanan harga yang tinggi ini terpaksa dihadapi oleh pengguna. Dalam keadaan sekarang, masyarakat perlu mengambil pendekatan berhemah untuk menguruskan kewangan mereka. 4) Kenaikan kos pengangkutan dan kos pemprosesan Peningkatan harga minyak yang tinggi tersebut akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang, terutama harga barang makanan. Bahan makanan, sama ada dalam bentuk mentah, separa proses atau siap diproses perlu diangkut dari tempat pengeluaran atau pemprosesan kepada tempat pemasaran. Kenaikan kos pengangkutan dan kos pemprosesan sudah tentu akan dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang akhir barang yang diangkut. Kerajaan boleh campur tangan dengan mengumumkan Dasar Kawalan Harga barangan tetapi dari segi ekonomi, dasar campur tangan tersebut akan membawa kepada herotan ekonomi dan memberi lebih banyak keburukan. Orang ramai masih gemar memandu kenderaan sendiri daripada menggunakan pengangkutan awam. Hal ini menyebabkan penggunaan bahan api terus meningkat. Walau bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan pengguna atas pilihan tersebut. Jika mutu perkhidmatan awam baik bas, teksi dan kemudahan LRT dan komuter masih kurang memenuhi kehendak dan permintaan rakyat. Kita tidak boleh membandingkan dengan negara lain sekiranya ingin menggalakkan pengguna menggunakan pengangkutan awam. Contohnya, sistem pengangkutan awam di Singapura adalah cekap dan lengkap. Oleh itu, kenaikan harga barang memberikan impak yang sangat besar kepada kuasa beli masyarakat.

Langkah-langkah mengatasi masalah kenaikan harga barang 1) Kempen jimat cermat Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan anggota masyarakat di negara kita untuk menangani masalah ini. Langkah tersebut ialah pihak kerajaan perlu menjalankan kempen jimat cermat dalam kalangan pengguna. Hal ini berlaku demikian kerana dengan melalui kempen atau mesej kerajaan,kerajaan boleh menggalakkan masyarakat supaya berjimat cermat bagi mendatangkan hasil. Kempen tersebut boleh dijalankan melalui media massa arus perdana seperti televisyen, radio dan juga media cetak. Di samping itu, kempen tersebut juga sekurang-kurangnya diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada para pengguna. Dengan cara itu, kesan kenaikan harga barang akan dapat ditangani dengan lebih berkesan dalam kalangan pengguna. 2) Menjimatkan perbelanjaan harian Masyarakat yang juga merupakan pengguna digalakkan untuk menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Sebenarnya, cadangan ini pernah dipraktikkan pada 1970an dengan rancangan Buku Hijau. Dengan cara ini, para pengguna tidak perlu membeli sayur-sayuran di pasar setiap hari. Contohnya, masyarakat boleh menanam sayur-sayuran yang mudah ditanam di belakang rumah ataupun di dalam pasu seperti cili, kangkung, sawi, kunyit, serai, tomato dan sebagainya. Selain untuk kegunaan sendiri, sayur-sayuran itu juga boleh diberikan kepada jiran-jiran yang berhampiran. Sudah tentu tindakan ini akan menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak langsung, cara ini juga boleh merapatkan hubungan sesama jiran dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang harmoni. Selain itu, cara ini juga boleh menjimatkan masa untuk membeli sayur-sayuran di pasar. 3) Membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas Pihak kerajaan hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Contohnya, mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan,mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kenaikan harga barang. Kesimpulan Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan harga barang yang tidak terkawal akan menyebabkan kekacauan dan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan politik yang mengancam keharmonian negara. Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan membendung masalah kenaikan harga barangan keperluan dan mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini supaya masalah kenaikan harga barang dapat dikurangkan.


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Clean
  • Twitter Clean
  • Instagram Clean
  • White YouTube Icon
  • RSS Clean
bottom of page