perkauman masih kuat di Malaysia dan cara menangani konflik antara kaum menurut Islam
Walaupun Malaysia telah menggapai 56 tahun kemerdekaan, tetapi sentimen perkauman masih lagi membara dalam kalangan masyarakat Malaysia. Jika isu ini tidak ditangani dengan bijak oleh semua pihak, hal ini akan menjadi barah yang boleh merosakkkan perpaduan dan keharmonian di Malaysia. Isu ini merupakan salah satu cabaran dalam menangani masyarakat berbilang kaum di Malaysia kerana konflik antara etnik berlaku sekiranya sesebuah Negara mempunyai lebih dari satu etnik. Konflik ini wujud sekiranya berlaku pertentangan fahaman mengenai budaya yang boleh mengakibatkan pertentengan kuasa.
Banyak punca yang menyebabkan berlakunya konflik antara kaum. Antara sebab utama adalah ketidakseimbangan pembangunan ekonomi dan pengagihan kuasa. Jika kita lihat keadaan di Malaysia, ekonomi kebanyakan dipegang oleh orang cina manakala politik banyak didominasikan oleh orang melayu. Hal ini disebabkan pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu, masyarakat dipisahkan dari sudut ekonomi dan penempatan mengikut kaum-kaum masing. Sebagai contoh, orang cina bekerja sebagai peniaga dan tinggal di Bandar, manakala orang melayu tinggal di kawasan perkampungan dan melakukan aktiviti pertanian dan orang India pula ditempatkan di kawasan ladang bagi menguruskan kelapa sawit dan getah. Selepas kemerdekaan, disebabkan orang cina mempunyai modal yang banyak serta berpengalaman dalam perniagaan, mereka terus memonopolikan ekonomi di Malaysia sehingga sekarang. Pengasingan ini wujud di antara etnik disebabkan kesan negatif dasar-dasar yang terbentuk semenjak zaman penjajahan. Selain itu, perkauman antara etnik ini boleh dilihat secara tidak langsung melalui politik mengikut etnik contohnya, UMNO, MCA dan MIC, akhbar dan rancangan televisyen berlainan bahasa mengikut etnik masing-masing. Politik mengikut kaum ini lebih menjurus untuk mempertahankan dan memperjuangkan hak untuk kaum masing-masing. Walaupun terdapat juga politik bukan berasaskan perkauman, tetapi jika dilihat kepada masyarakat berbilang kaum, mereka lebih cenderung untuk mengekalkan identiti masing-masing serta mempertahankan nilai, budaya dan idea yang berbeza di antara kelompok masyarakat. Hal ini kerana, masing-masing cuba memaparkan nilai mereka sendiri kepada masyarakat lain yang berlainan agama, budaya, bahasa dan etnik. Sebagai contoh, orang cina sukar memilih wakil dari kalangan orang melayu dan orang melayu sukar memilih wakil dari kalangan kaum India dan cina kerana kaum cina sehingga kini masih sukar menyelami budaya melayu yang sebenar begitu juga orang melayu yang masih ragu-ragu dengan kejujuran kaum cina. Hal ini disebabkan mereka masih kabur tentang latar belakang budaya dan sejarah antara mereka.Sebagai contoh,terdapat perbezaan dalam nilai-nilai orang Melayu dan Cina, kerana latar belakang mereka yang berbeza agama dan budaya.
Tambahan pula, terdapat jarak sosial di antara mereka , ramai orang Melayu tidak tahu nilai-nilai Cina dengan baik dan kaum Cina agak jahil tentang nilai-nilai Melayu walaupun mereka telah hidup bersama telah lama. Sistem pendidikan dan komunikasi massa telah tidak digunakan oleh pihak berkuasa dengan sebaiknya untuk menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang nilai dan budaya masing-masing. Terdapat juga golongan elit memperalatkan isu perkauman untuk mencapai tujuan politik. Selain itu, sistem pendidikan yang berasingan turut menjadi punca kepada konflik antara kaum. Sebagai contoh, sekolah aliran cina diwujudkan semasa penjajahan british yang dibiayai oleh orang perseorangan dan persatuan mereka sendiri. Mereka diajar dalam ibunda masing-masing. Hal ini menyebabkan polarisasi di kalangan pelajar yang boleh di lihat di institusi pengajian tinggi awam atau swasta (IPTA atau IPTS), orang cina hanya bergaul dengan orang cina dan orang melayu bergaul dengan orang melayu yang menyebabkan tiada hubungan antara kaum dan boleh meningkatkan prejudis antara kaum. Sebagai contoh, terdapat orang Melayu yang menganggap orang Cina sebagai kotor , penipu dan sentiasa taksub dengan membuat wang. Dengan cara yang sama terdapat Cina yang menggambarkan orang Melayu sebagai malas, boros dan suka kepada hiburan. Mungkin sifat-sifat ini adalah benar sesetengah Melayu dan sesetengah orang Cina, tetapi tidaksemestinya benar untuk mereka semua . Ini boleh menyebabkan prejudis antara kaum makin berkembang. Apabila setiap etnik prejudis terhadap yang lain , ketegangan boleh berlaku, dan menyebabkan konflik antara etnik.
Oleh itu pengurusan konflik ini penting kerana kewujudan konflik tidak dapat dielakkan. Sekiranya konflik ini diuruskan secara proaktif, ini akan memberikan kelebihan kepada Negara dan sekiranya gagal diuruskan dengan baik, banyak risiko dan kesan terpaksa dihadapi oleh Negara. Pengurusan konflik ini haruslah dilakukan berdasarkan bukan kepada hanya pengamatan satu pihak etnik atau kaum sahaja tetapi melibatkan semua etnik yang terdapat di Malaysia. Selain itu undang-undang, akta mahupun polisi diperlukan sebagai kawalan yang dapat mengendurkan konflik ini dari terus menular. Selain itu, setiap warganegara hendalah memahami sejarah Negara, bangsa lain serta perlembagaan persekutuan di Malaysia. Reformasi system pendidikan perlu dilakukan supaya wujud keselarasan untuk setiap sekolah yang ada di Malaysia. Dasar kerajaan haruslah diterangkan secara jelas melalui media cetak atau media massa supaya rakyat dapat memahami dasar yang akan dilakuakn oleh kerajaan. Golongan elit juga hendaklah tidak menggunakan isu perkauman sebagai agenda politik perkauman yang boleh menyebabkan Negara kucar-kacir. Menurut Islam terdapat empat peringkat dalam menangani konflik antara kaum iaitu : pertama, al-Ta’aruf iaitu berkenal-kenalan atau kita hendak mengetahui dan mempelajari tentang sejarah dan latar belakang serta budaya dan adat resam setiap kaum yang terdapat di Malaysia. Kemudian kedua, al-Tafahum iaitu memahami. Setelah kita mengetahui sejarah dan latar belakang, maka timbul rasa memahami antara kaum dan boleh membuang persaan prasangka antara kaum. Ketiga adalah al-Tadhamum iaitu menjamin antara satu sama lain atau berkerjasama. Selepas kita memahami antara kaum, maka kita boleh berkerjasama antara satu sama lain dalam semua perkara. Dan keempat adalah al-takaful iaitu, saling bantu- membantu, kemudian timbul sikap bantu antara satu sama lain tanpa mengira kaum. sekiranya diamalkan, konflik antara kaum dapat dielakkan
Sebagai kesimpulan, kita perlu mengetahui punca masih berlakunya sentimen perkauman yang kuat di Malaysia supaya kita dapat mengambil langkah yang bijak dan drastik supaya sentimen perkauman ini tidak terus merosakkan keharmonian di Malaysia. Semua pihak sepatutnya berperanan dalam menangani masalah ini dengan belajar memahami antara satu sama lain dan tidak bersikap berprasangka buruk antara kaum. Kestabilan Negara akan terus terjamin sekiranya konflik antara kaum berjaya di atasi dengan bijak. Pengurusan konflik ini berjaya sekiranya pihak pentadbiran menyelidiki dahulu punca utama konflik itu terjadi.